[Header+for+RCTonline2.jpg]

RCT - Laporan Xtvt...

Wednesday, January 13, 2010

Warga Emas Tinggalkan Kemewahan Untuk Berbasikal Jelajah Dunia


Mohamed Ali Janusz River hanya berbelanja RM6.50 sehari semasa menjelajah dunia dengan basikalnya.-Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Pada petang menjelang sambutan abad baru 10 tahun lepas dan ketika meraikan hari lahirnya ke-64, Mohamed Ali Janusz River, rakyat kelahiran Poland telah bertekad untuk melakukan sesuatu yang mengagumkan agar sisa kehidupannya tidak berakhir dengan sia-sia.

Tidak mempunyai isteri atau anak, Janusz River, yang mengumpul kekayaan sebagai pengurus sukan antarabangsa mewakili pelbagai pasukan bola sepak di Itali, kemudian memutuskan untuk menjelajah dunia dengan berbasikal.

Sejak itu warga emas ini tidak lagi menoleh ke belakang dan menghabiskan masa sejak sembilan tahun lalu mengayuh basikal dari sebuah negara ke sebuah negara.

"Saya melakukan ini bukan untuk wang atau publisiti. Saya tidak mempunyai penaja dan cuma untuk suka-suka. Setiap hari saya cuma berbelanja RM6.50 dan jumlah ini lebih daripada cukup, malah kadang-kadang saya langsung tidak menggunakan duit," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Janusz River, yang tiba ke negara ini melalui Singapura, telah menjelajah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak, dan merancang untuk ke Langkawi hari ini sebelum menaiki feri ke Satun, Thailand.

Beliau akan kembali semula ke Malaysia untuk menjelajah Kelantan, Terengganu dan Pahang, sebelum terbang ke Sabah dan Sarawak.

Meneruskan cerita, Janusz River berkata sepanjang di Malaysia, beliau banyak menerima bantuan daripada pejabat daerah dan ketua-ketua kampung yang dilaluinya.

Janusz River, memeluk Islam pada tahun 1973.

Janusz River, yang mengakui seronok melihat dunia secara berbasikal, lebih gemar mengembara menerusi jalan-jalan kampung dan kawasan pedalaman kerana ini membolehkan beliau berinteraksi dengan masyarakat tempatan.

"Saya tidak suka berada di bandar-bandar yang sibuk. Saya suka orang kampung. Saya tidak pernah melihat pemandangan seindah masyarakat Melayu di kampung. Golongan wanita dan kanak-kanaknya memakai pakaian tradisional yang beraneka warna.

"Semasa melalui kampung-kampung penduduk menerima saya dengan baik, memberi saya makan dan menjemput saya ke kenduri, iaitu suatu perkara yang paling saya sukai," katanya.

Beliau melihat Malaysia sebagai sebuah negara kaya dan paling selamat yang pernah beliau lawati dan menggunakan sepenuhnya peluang ketika di sini untuk bergaul dengan masyarakat khususnya penduduk kampung.

"Ini kali pertama saya melawat Malaysia dan saya benar-benar seronok di sini," katanya yang berazam menghabiskan perjalanannya di Sukan Olimpik Rio de Janeiro di Brazil pada 2016.

"InsyaAllah saya akan berumur 80 tahun pada ketika itu, dan untuk mengekalkan kecergasan, saya minum lima liter air setiap hari, makan tengah hari dengan kadar yang banyak, makan sekilogram campuran buah-buahan, selain berbasikal sejauh 30km setiap hari dengan membawa bagasi seberat 30kg," kata Janusz River.

Beliau berkata sejak sembilan tahun lepas beliau memilih untuk tidur di tepi jalan sekalipun mampu tinggal di hotel dan rumah penginapan.

"Saya ada beg tidur dan kelambu, dan itu sudah cukup bagi saya. Saya suka tidur di tempat terbuka, dan kadang-kadang saya tidur dalam bangunan kosong atau di surau-surau," katanya.

Janusz River, yang semasa mudanya tidak berpegang kepada mana-mana kepercayaan, memeluk Islam pada 1973 selepas membaca Al-Quran dalam Bahasa Rusia dan tertarik dengan agama itu. Bapanya berketurunan Rusia.- BERNAMA

0 Comments:

Related Posts with Thumbnails