SETELAH Nabi Musa menghadapi pelbagai rintangan, baginda terpaksa pula berhadapan dengan Firaun dan pengikutnya. Allah memerintahkan baginda menyeru Firaun bersama pengikutnya supaya menyembah Allah. Firaun memerintah Mesir dengan kejam dan zalim. Firaun juga mengaku dirinya sebagai Tuhan.
Nabi Musa memohon kepada Allah agar diberikannya seorang teman dan sebagai wazir bagi dirinya iaitu saudaranya yang bernama Harun. Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Musa.
Allah telah memberi ilham kepada Harun supaya segera berangkat mendapatkan Nabi Musa di Thur Sina. Maka bertemulah dua saudara itu. Mereka berjanji akan saling membantu untuk sama-sama melepaskan rakyat Mesir daripada disesatkan oleh Firaun yang sombong dan zalim itu.
Allah SWT telah memerintahkan Nabi Musa bersama Harun mengadap Firaun dengan segera. Allah mahu Nabi Musa dan Nabi Harun menyeru Firaun dengan lemah-lembut.
Kedua-duanya segera menuju ke Mesir dan bertemu dengan Firaun. Mereka menyeru Firaun dan pengikutnya agar menyembah Allah, namun Firaun tidak mengendahkan seruan mereka.
"Bukankah kami yang mendidik kamu. Kami yang membesarkan kamu. Kamu tinggal dengan kami bertahun-tahun lamanya," kata Firaun kepada Nabi Musa dengan marah.
"Adakah kerana penjagaan aku dulu engkau mahukan balasan yang baik? Bukankah itu kejahatan yang engkau lakukan terhadap kaum Bani Israel?" tanya Nabi Musa.
"Aku meninggalkan istana kerana aku tidak mahu tersesat dengan kepercayaan kamu, wahai Firaun. Aku telah mendapat rahmat daripada Allah SWT. Allah telah mengangkat aku menjadi rasul-Nya," terang Nabi Musa.
"Siapakah tuhan bagi seluruh alam ini?" tanya Firaun.
"Allah, Tuhan bagi seluruh alam ini. Bukannya kamu. Allah yang menjadikan langit dan bumi," terang Nabi Musa.
Firaun amat marah kerana tidak dapat mengalahkan Nabi Musa dengan kata-kata. Maka dia menggunakan kekuatan yang ada padanya. Firaun mahu Nabi Musa dipenjarakan sekiranya Nabi Musa enggan menyembahnya.
Nabi Musa tidak takut dengan apa yang diperintahkan Firaun kepadanya. Baginda mahu menunjukkan mukjizat yang diberikan oleh Allah kepadanya.
"Mahukah engkau melihat mukjizat hebat yang Allah bagi kepadaku?" tanya Nabi Musa.
"Aku tidak akan percaya sebelum melihat bukti yang nyata. Aku mahu melihat bukti itu," jawab Firaun.
Dengan penuh harapan, Nabi Musa memperlihatkan mukjizat Allah berikan kepadanya. Baginda telah melemparkan tongkat lalu menjadi ular yang besar dan memasukkan tangannya ke dalam saku bajunya. Apabila tangan itu dikeluarkan, tangan tersebut mengeluarkan sinar yang berkilauan. Nabi Musa mahu Firaun insaf dan sedar apabila melihat bukti itu.
Walaupun sudah terbukti, Firaun tetap tidak mahu menyembah Allah. Kehebatan yang ada pada Nabi Musa diperkecil-kecilkan oleh Firaun. Dia menganggap mukjizat yang ada pada Nabi Musa itu adalah sihir semata-mata.
PENGAJARAN
Pendekatan yang berhikmah perlu ada dalam setiap pendakwah. Begitu juga dengan sikap lemah lembut walaupun berhadapan dengan orang yang menentang ajaran agama atau bersikap zalim.
Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
0 Comments:
Post a Comment