[Header+for+RCTonline2.jpg]

RCT - Laporan Xtvt...

Saturday, June 20, 2009

HATI Oh HATI-HATI

HATI yang lembut seumpama tanah yang subur, mudah untuk diterokai, mudah untuk bercucuk tanam dan mudah segala-galanya bagi seorang petani untuk mengusahakannya. Hasilnya dari kelembutan itu juga memberikan impak yang besar kepada tanaman yang mampu hidup subur manakala akar umbinya mudah menjalar di dalam tanah untuk mencari baja demi kesuburan batang pohonnya di atas.

 

Begitulah diumpamakan hati yang lembut itu seumpama tanah yang subur, hati yang lembut mudah untuk menerima segala ajaran dari Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w dan menerima baik segala nasihat-nasihat orang sekelilingnya. Hati yang lembut itu seumpama tanah yang memberikan kesuburan kepada tanaman dan begitu juga hati memberikan kesuburan kepada tumbuhnya Iman bagi menegakkan sifat-sifat takwa yang akan membawa kebahagian di dunia dan di akhirat.

 

Manakala hati yang keras pula seumpama tanah yang gersang yang bukan sahaja membinasakan tanaman malah tidak mampu pula untuk membantu pertumbuhan tanaman di atasnya. Begitulah diumpamakan hati yang keras yang sukar menerima ajaran Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta menolak segala nasihat-nasihat baik untuk dirinya.  Hati yang keras itu berkait rapat dengan hasutan syaitan atau iblis, yang mana kedua-duanya itu dijadikan dari api maka sudah tentu sedikit sebanyak pengaruhnya yang panas itu menguasai hati manusia sehingga menjadi keras. Bahang kepanasan api itu memberikan impak yang sangat besar dan mempengaruhi hati menjadi keras, liar, jahat dan sukar untuk menerima segala perkara yang baik.

 

Kita dianjurkan agar sentiasa melembutkan hati dengan mengingati Allah s.w.t dan mati serta menjauhi segala perkara yang boleh menjadikan hati kita itu keras dan degil sama ada dari sudut permakanan, pandangan, pendengaran dan sebagainya. Hati yang keras akan menjadi sebab terheretnya kita ke dalam neraka akibat kemungkaran yang dilakukan kita di dunia ini.

 

0 Comments:

Related Posts with Thumbnails