Basikal lipat lebih praktikal
Keistimewaan basikal ini bukan sahaja ia boleh dilipat, malah si pengayuh juga tidak memerlukan tenaga yang banyak untuk mengayuh walaupun di kawasan berbukit.
ANDA gemar beriadah terutamanya aktiviti berbasikal? Bagi penggemar aktiviti ini yang tinggal di pangsapuri, mungkin agak sukar kerana tidak mempunyai ruang untuk menyimpan basikal. Selain itu, basikal ini juga perlu dibawa ke taman rekreasi atau kawasan yang sesuai untuk ditunggang.
Cabarannya pula, mungkin sukar untuk anda memuatkan basikal ke dalam kenderaan untuk pergi ke tempat-tempat tersebut, sekiranya anda hanya menggunakan kereta jenis kompak seperti Perodua Kancil, Perodua Kelisa dan Proton Satria.
|
|
Kesemua masalah itu dapat diselesaikan jika anda memiliki sebuah basikal buatan Jepun yang mesra pengguna. Apakah keistimewaannya? Ia boleh dilipat dan dimuatkan ke dalam kenderaan yang bersaiz kecil seperti kereta Perodua Kancil.
Pemilik kedai basikal Asia Timur yang terletak di Jalan Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah, Ahmad Nizam Dolah, 39, ada menjual basikal terpakai buatan Jepun itu. Ia bukan sahaja boleh dilipat, malah ia juga ringan apabila dikayuh berbanding dengan basikal lain seperti buatan China.
Meskipun basikal tersebut baru diperkenalkan di Malaysia, namun ia sudah dikenali di Kelantan sejak tahun lalu.
"Ia juga selesa ditunggang kerana ia banyak kelebihan yang tidak ada pada basikal lain.
"Jika dilihat pada reka bentuknya, mungkin kita dapat rasakan yang fungsinya sama seperti basikal lain yang ada di kedai saya tetapi sebenarnya ia berbeza," katanya.
Reka bentuknya juga seakan-akan basikal tua ataupun basikal yang digunakan pada era tahun 70-an. Malah, ada yang berpendapat, ia bak basikal tua yang dicat semula.
|
|
Keistimewaan basikal ini bukan sahaja ia boleh dilipat, malah si pengayuh juga tidak memerlukan tenaga yang banyak untuk mengayuh walaupun di kawasan berbukit.
Basikal ini dikeluarkan oleh beberapa buah syarikat di Jepun seperti Bridgeston, Miyata, Asahi dan Shamrock. Ia didatangkan dalam pelbagai saiz yang dapat dilihat pada tayar basikal tersebut iaitu saiz 16, 20, 24, 26 dan 27.
Selain itu, keistimewaan basikal ini juga dapat dilihat pada gear kelajuannya yang akan berubah secara automatik mengikut kesesuaian kawasan yang ditunggang. Ada juga basikal yang mempunyai alat pengesan yang mampu menyalakan lampu dengan sendirinya apabila menjelang waktu malam.
Terdapat juga basikal yang tidak perlu dikayuh kerana ia menggunakan bateri yang mampu menggerakkan basikal tersebut.
"Walaupun ia hanya basikal terpakai tetapi permintaannya lebih tinggi berbanding dengan basikal lain yang dijual di sini.
"Basikal ini boleh ditunggang oleh semua peringkat umur dan memang sesuai untuk aktiviti seisi keluarga yang gemar menunggang basikal pada masa lapang," ujarnya.
|
|
Dengan harganya yang rendah, basikal tersebut dapat dijual sebanyak 70 peratus dalam tempoh kurang tiga bulan.
Katanya, antara kelebihan lain yang ada pada basikal itu adalah ia mudah dijaga, disimpan dan boleh dilipat bagi memudahkan pengguna membawanya ke mana sahaja dan ia juga tidak memerlukan ruang yang besar untuk disimpan.
Kedai milik Ahmad Nizam bukan sahaja menjual basikal terpakai buatan Jepun, malah kedainya juga menyediakan perkhidmatan membaiki, menjual aksesori basikal dan membeli basikal terpakai.
Sekiranya anda berminat untuk memiliki basikal mesra pengguna buatan Jepun ini, bolehlah berkunjung ke Kedai Basikal Asia Timur, No. 3, Rumah Kedai Taman Mustika, Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah (berhadapan Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung).
0 Comments:
Post a Comment